JUN 2024

Sarawak Kaji Bina Jalan Bertingkat Atas Tanah Gambut


KUCHING: Sarawak merancang membina jalan bertingkat di atas struktur tanah gambut bagi meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini selepas mengambil iktibar projek jalan sebelum ini khususnya laluan Asajaya ke Samarahan yang masih tidak memberi keselesaan walaupun dibina di atas tanah gambut.

"Saya minta Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat kajian. Jika kita bina jalan bertingkat di atas tanah gambut, maka jalan tidak lagi ‘bergelombang’ dan penyelenggaraan juga kurang," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Innocement Sdn Bhd dan PMW Industries Sdn Bhd di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, pembinaan jalan bertingkat juga hanya menggunakan tiang-tiang sebagai struktur sokongan dan tidak akan mengganggu tanah gambut yang berpotensi sebagai penyimpanan karbon.

Selain itu, beliau berkata MOU itu bertujuan mewujudkan kemudahan pembuatan cerucuk konkrit, tiang lampu dan produk berkaitan di Tanjung Manis dalam usaha menyumbang kepada pasaran Sarawak.

GAMBAR:JAPEN